Wednesday, December 17, 2008

Petunjuk

(Copy from Tazkeerah by En Jamil)

Solat Istikarah : Mengapa Menunggu Mimpi?

Persoalan yang ingin diperbincangkan di sini, apakah mimpi manusia biasa boleh dijadikan sandaran atau boleh menjadi isyarat kepada jawapan yang dicari? Benarkah solat sunat istikharah boleh menjadi medium atau pengantara untuk menentukan sesuatu keputusan seperti menentukan jodoh seseorang (atau apa-apa ajelah yang sewaktu dengannya) atau baik buruk takdirnya?

Istikharah sebenarnya berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud ‘meminta pilihan yang baik’. Biasanya solat istikharah dilakukan apabila seseorang itu ingin melakukan sesuatu perkara tetapi dia tidak pasti apakah perbuatan atau tindakannya itu membawa kebaikan ataupun tidak kepada dirinya. Maka untuk itu, dituntut baginya supaya melakukan solat sunat istikharah. Pelaksanaannya sama dengan solat-solat sunat yang lain. Dalam sebuah hadis daripada Jabir bin Abdullah berkata, Rasulullah s.a.w. pernah mengajar kami cara untuk meminta petunjuk Allah Ta’ala dalam beberapa urusan yang penting. Baginda bersabda, ‘Apabila salah seorang di antara kamu menghendaki pekerjaan, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian ia berdoa : Ya Allah, sesungguhnya aku minta petunjuk yang baik dengan pengetahuan-Mu, dan aku minta diberi kekuatan dengan kekuatan-Mu. Aku minta kemurahan-Mu yang luas, kerana sesungguhnya Engkau yang Maha Kuasa sedang aku tiada berkuasa. Engkau mengetahui sedang aku tidak tahu, dan Engkau Maha Mengetahui yang ghaib.’

Sesungguhnya manusia diciptakan oleh Allah Ta’ala dalam keadaan lemah. Kelemahan yang ada pada manusia itu menyebabkan apa jua rancangan dan tindakan yang kita lakukan kadang-kadang sudah diyakini baiknya, tetapi belum tentu baik bagi Allah Ta’ala. Begitu juga apa yang kita rancang dan kita lakukan sudah diyakini kesan buruknya, tetapi belum tentu buruk menurut penilaian Allah. Dalam hal ini kita harus mengakui bahawa daya fikir dan akal manusia sangat terbatas. Untuk itu kita dianjurkan beristikharah.

Perlu dijelaskan di sini bahawa tidak semua mimpi manusia itu benar. Mimpi manusia biasa pada kebiasaannya adalah mainan tidur yang berpunca daripada pengaruh iblis dan syaitan yang datang mengganggu. Kita tidak boleh menyamakan antara mimpi manusia biasa dengan mimpi para Nabi dan Rasul-rasul. Mimpi bagi Nabi dan para Rasul adalah wahyu dari Allah Ta’ala. Kisah Nabi Ibrahim a.s. sebagai contoh, telah diperintah oleh Allah untuk menyembelih anaknya, Ismail a.s. yang datang melalui mimpi Baginda.

Kesimpulannya mimpi kita itu tidak mengandungi kebenaran mutlak. Kemungkinan kebenaran yang terlihat itu lebih berdasarkan kepada kebetulan sahaja atau unsur-unsur daripada mainan syaitan yang bertujuan untuk menyesatkan manusia. Itulah sebabnya, jangan menyandarkan segala keputusan kepada mimpi. Sebaliknya berfikirlah dengan lebih rasional (syuhud).

Sebagai contoh, dalam kes memilih jodoh, seandainya pertimbangan akal diletakkan pada tempat yang sewajarnya, maka memadai dengan sedikit soal selidik dan mengkaji latar belakangnya sudah dapat menentukan ciri-ciri pasangan yang menepati kehendak Islam. Maka ketika itu, dia tidak perlu lagi beristikharah dan terus menerus menunggu mimpi. Atau sekiranya berada dalam situasi antara dua pilihan, yang satu berakhlak mulia sedang yang kedua kurang baik agama dan akhlaknya, maka pilihannya ketika itu sewajarnya kepada yang pertama. Kaedah pertimbangan dan penilaian seperti itu tidak perlu melalui solat sunat istikharah (tetapi adalah lebih afdhal setiap perkara itu dirujuk terus dengan Allah s.w.t. kerana DIA-lah yang menjadikan segala galanya setiap gerak dan diam).

Mimpi itu bukanlah satu-satunya jalan yang memimpin manusia kepada petunjuk Allah s.w.t. Kadang-kadang petunjuk Allah Ta’ala datang melalui buah-buah iman yang masuk menyerap ke dalam hati sehingga menerbitkan keyakinan dan rasa hati yang kuat melalui keyakinan untuk memilih salah satu di antara beberapa pilihan. Jika kita mempunyai kecenderungan untuk memilih salah satunya, maka itu merupakan ‘isyarat kuat’ daripada Allah. Pilihlah dulu terimalah seadanya, kemudian solatlah istikharah dan ketika itu pohonlah kepada Allah Ta’ala moga pilihan kita tersebut tepat dan terbaik yang boleh membawa kebaikan dunia dan akhirat. Hal ini diperjelaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam sebuah doa yang mafhumnya :

‘Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa pekerjaan ini, baik bagi agama dan kehidupanku dan hari kemudianku, maka berikanlah ia kepadaku, dan mudahkanlah ia bagiku, dan berkatilah ia kepadaku. Jika Engkau mengetahui bahawa pekerjaan ini buruk bagiku, buruk bagi agamaku, penghidupanku dan hari kemudianku, maka jauhkanlah aku daripadanya, dan berikanlah bagiku kebaikan di mana pun juga adanya, kemudian jadikanlah aku orang yang redha dengan pemberian itu.’
[HR. Bukhari]

No comments: